Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksPerkhidmatan Kaunseling dan Seliaan

Pendahuluan

Pejabat Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan Jabatan Penjara telah sempurna dirasmikan oleh Pemangku Pengarah Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat pada hari Sabtu, 28 Rabiulawal 1435 bersamaan 30 Januari 2014. Pengujudan pejabat Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan adalah sebagai sistem sokongan bagi meningkatkan program-program pemulihan Jabatan Penjara yang lebih teratur dan terarah selaras dengan visi Jabatan untuk menjadi sebuah institusi pemulihan yang cemerlang.


Matlamat dan Hasrat

Matlamat dan hasrat bahagian Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan adalah untuk melaksanakan sesi-sesi kaunseling dalam tempoh waktu intensif pemulihan (2 bulan sebelum bebas) dan juga untuk sesi-sesi kaunseling lanjutan kepada bekas-bekas penghuni penjara yang memerlukan perkhidmatan ini. Namun begitu sesi-sesi kaunseling individu masih dilaksanakan di institusi- institusi penjara bagi penghuni yang mengikuti hukuman panjang dan jagaan khas hasil rujukan Bahagian Pemulihan di institusi-institusi berkenaan. Selain itu sesi-sesi kaunseling keluarga juga dibukakan secara sukarela kepada bekas penghuni dan keluarga-keluarga mereka. Dalam erti kata lain, semasa tempoh seliaan (6 bulan selepas dibebaskan), bekas penghuni tempatan masih berpeluang untuk mendapatkan khidmat kaunseling individu dan keluarga. Pada peringkat permulaan ini, sasaran utama perkhidmatan seliaan adalah khusus kepada bekas penghuni yang berisiko tinggi untuk masuk semula ke dalam penjara. Program program seliaan akan diurus oleh pegawai-pegawai seliaan yang bertanggung jawab sebagai penyelaras program dan pengurusan kes bagi individu-individu berkenaan.

 

Pelaksanaan Program

Program-program yang berbentuk bimbingan kerohanian, akhlak dan motivasi berkala akan diungkayahkan dengan usahasama agensi-agensi yang relevan seperti Pusat Dakwah Islamiah, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Sektor - Sektor Swasta dan Sukarelawan. Program-program juga akan melibatkan Penghulu, Ketua-Ketua Kampung dan ahli-ahli keluarga seperti taklimat dan perjumpaan bersama individu berkenaan setelah dibebaskan. Selain itu beberapa langkah yang berkesan dalam membantu program seliaan akan diusahakan seperti menganjurkan sesi-sesi forum reintegrasi penghuni ke dalam masyarakat serta programprogram lain yang difikirkan sesuai dan relevan.

 

Kesimpulan

Perkhidmatan kaunseling dan seliaan ini adalah manifestasi akan usaha berterusan Jabatan Penjara dalam memberikan bimbingan dan peluang kepada individu-individu yang berkenaan khususnya bekas penghuni untuk berubah serta membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka masih mampu memberikan sumbangan dan bakti kepada keluarga, ugama, bangsa dan negara. Insya Allah, usaha yang berkebajikan ini adalah selaras dengan misi Jabatan untuk melindungi masyarakat dengan menahan penghuni secara terkawal, berperikemanusiaan dan memberikan pemulihan yang sempurna supaya menjadi anggota masyarakat yang berguna dan bertanggungjawab.